
Di dalam autobiografi Tommy Thomas berjudul My Story: Justice in the Wilderness, bekas peguam negara itu berkata beliau “yakin dapat memperoleh semula” kerugian besar daripada Goldman Sachs yang dialami kerajaan Malaysia berikutan tiga terbitan bon 1MDB.
Thomas mengemukakan angka lebih $9.6bn (kira-kira RM43bn) sebagai kehilangan prinsipal dan faedah, sebelum ditolak faedah kewangannya daripada bon (ms 315, 317).
Walau bagaimanapun, apabila Mahiaddin Yasin dan pasukannya mengambil alih kerajaan melalui pintu belakang, pentadbirannya dilaporkan menerima tawaran penyelesaian hanya sekitar $2.5bn (RM11bn) ditambah dengan $1.4bn aku janji untuk aset yang boleh diperolehi semula. Jumlah itu mencecah kira-kira $3.9bn (kira-kira RM17bn). Ini jauh lebih rendah daripada angka diberikan Thomas.
Aliran menggesa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk menyiasat rekod pentadbiran terdahulu.
Adakah Goldman Sachs bersetuju dengan angka yang tinggi dengan kerajaan Malaysia sebelum ia diselesaikan Mahiaddin?
Jika ya, apakah wujud perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan dan Goldman Sachs untuk jumlah yang lebih tinggi ini?
Sekiranya terdapat perjanjian sedemikian yang tidak didedahkan kepada umum, kami menggesa kerajaan Anwar untuk mendedahkan perjanjian itu kepada umum.
Daripada menyiasat hanya isu tertentu dalam keseluruhan buku untuk menenangkan pihak tertentu, Aliran percaya adalah lebih produktif bagi kerajaan Malaysia untuk menumpukan perhatiannya pada bab berkaitan Goldman Sachs (ms 301-323).
Malah, keseluruhan penyelesaian di antara Goldman Sachs dan pasukan perunding Mahiaddin harus menjadi isu pengauditan forensik yang menyeluruh.
Jawatankuasa eksekutif Aliran
18 Mac 2023
The post Adakah terdapat perjanjian antara Goldman Sachs dan kerajaan Malaysia untuk pampasan yang lebih tinggi? appeared first on Aliran.